Walaupun gerangan bernama ayah selalu ditakuti dengan sifat garang mereka, tetapi percayalah kasih sayang mereka terhadap anak-anaknya tiada batasan.
Baru-baru ini, seorang bapa telah terjumpa permainan kanak-kanak di kawasan berhampiran tempat pembuangan sampah ketika dalam perjalanan ke tempat kerja pada waktu pagi.
Baca Cerita Penuh
Pada awalnya bapa bernama Mohd Zakiman Irwan yang menetap di Kampung Bedal, Krai, Kelantan tidak mengambil permainan tersebut. Tetapi dia kembali ke tempat pembuangan sampah setelah pulang dari kerja.
“Ketika saya nampak mainan tersebut, saya tidak terus ambil. Lepas pulang dari kerja, baru saya datang semula dan lihat permainan itu masih ada.” katanya.
Bapa Ketepikan Rasa Malu Demi Bahagiakan Anak-anak
Ketika terlihat semula permainan itu, bapa berusia 35 tahun itu sanggup mengetepikan rasa malu dan terus mengambil permainan troli berkenaan yang dilihat masih elok walaupun hanya mempunyai dua roda sahaja.
Menurut bapa itu, dia mengambil gambar troli tersebut terlebih dahulu untuk ditunjukkan kepada isteri dan meminta persetujuan sebelum dibawa pulang.

Sebelum diberikan kepada anak-anak, bapa ini mencuci permainan itu sehingga bersih terlebih dahulu.
Siapa sangka pemberian tersebut telah menggembirakan kedua-dua anaknya walaupun mereka tahu dari mana mainan itu diambil.
Zakiman juga menceritakan dia hanya mampu membeli permainan dari kedai RM2 sahaja kerana bergantung kepada gaji harian di kilang.
Walaupun keadaannya yang agak susah, Zakiman menolak pemberian wang kerana beranggapan masih ramai individu di luar sana yang lebih memerlukan.
Video berkenaan telah menarik perhatian netizen dengan jumlah tontonan sebanyak 1 juta semasa artikel ini ditulis.
Ramai Terharu Melihat Usaha Bapa Ini Nak Buat Anak-anak Gembira
Di ruangan komen video itu, pengguna media sosial terharu dengan kasih sayangnya kepada anak-anaknya.
Ramai juga yang menyuruhnya untuk tidak menghiraukan kata-kata orang lain. Yang penting anak di rumah gembira dengan cara kita.
Ada juga yang berkongsi pengalaman pernah melalui perkara sama kerana ibu bapa mereka tidak berkemampuan membelikan permainan baharu ketika kecil.
Mereka juga berpendapat tiada masalah untuk mengambil permainan tersebut, asalkan ia bersih dan selamat digunakan.
