RAKYAT Malaysia memang terkenal dengan sikap pemurah serta saling bantu membantu, malah tabiat itu dilakukan tanpa mengira kaum dan agama.
Seperti kisah rider penghantar makanan yang tular baru-baru ini, yang mana dia sanggup menumpangkan seorang wanita warga emas yang sesat ketika dalam perjalanan melakukan kerjanya.
Menerusi rakaman video itu, Muhammad Khuzaimie Lemat berkata dia ditahan wanita berkenaan yang memintanya menghantar pulang ke rumah.
“Daripada tadi dia suruh saya hantar… dah bawa, dia suruh ke depan lagi. Kemudian dia cakap nombor rumah sembilan.
“Aku pagi-pagi ni nak pergi kerja, tapi aunty ni tahan minta tolong hantar dia balik rumah. Sekarang ni aunty sendiri tak tahu rumah dia kat mana.
“Aku rasa bawa dia ke balai polis, takut dia sesat sebab dia cakap tak ingat lokasi rumah,” ujarnya yang turut fasih berbahasa Mandarin.
VIDEO:
Ketika dihubungi mStar, anak muda berusia 24 tahun itu memberitahu, dia bertemu dengan wanita tersebut ketika dalam perjalanan untuk menerima tempahan makanan yang dibuat secara dalam talian di sekitar Bandar Puteri Puchong di Selangor.
Namun belum sempat dia menerima tempahan penghantaran berkenaan, dia sudah ditahan oleh wanita itu.
Menceritakan semula situasi yang berlaku, ujarnya yang sudah tiga tahun melakukan perkhidmatan penghantar makanan, pada masa kejadian, wanita tersebut berada di tepi jalan bersendirian sebelum tiba-tiba menahan motosikal yang ditunggang.
“Aunty cakap kat saya ‘boy, tolong hantar balik… kaki sakit sebab penat jalan, rumah dekat saja’.
“Masa dia cakap tu, memang nampak confident sangat. Tapi lepas tumpangkan, dia asyik cakap jalan terus dan rumah nombor sembilan.
“Lorong atau nama taman memang dia tak tahu… bila tanya, dia jawab tak ingat. Masa tu baru saya syak yang dia nyanyuk,” ujarnya yang hanya berserah pada nasib apabila memboncengkan wanita lingkungan 80-an itu tanpa memakai topi keledar.
Lebih tiga tahun menjadi rider penghantar makanan.
Selepas berpusing selama 20 minit di beberapa lagi kawasan taman sekitar, Khuzaimie mengambil keputusan untuk berhenti di tepi jalan dan menghubungi balai polis.
Dia kemudian menghantar warga emas tersebut ke balai dan memberi keterangan.
“Ketika di balai, polis menemukan kad pengenalan fotostat anak kepada aunty ni. Jadi pihak polis berjaya mendapatkan nombor telefon dan menghubungi warisnya.
“Jadi saya pun temankan aunty sehingga anak dia datang menjemput sebab bimbang jika dia tiba-tiba keluar dari balai. Waktu tu nampak aunty macam gelisah duduk di dalam, jadi saya ajak dia tunggu kat luar sambil bersembang,” ujarnya yang berasal dari Melaka.
Khuzaimie kemudian dimaklumkan bahawa warga emas berkenaan sering keluar rumah dan ini merupakan kejadian kali pertama dibawa ke balai polis.
“Anaknya berusia 45 tahun maklumkan yang aunty selalu keluar rumah dan mereka sekeluarga akan mencarinya di kawasan sekitar.
“Dia juga cakap yang aunty keluar sebab nak cari seorang lagi anak,” katanya lagi.
Bercerita lanjut tentang pengalamannya itu, ujar Khuzaimie, wanita terbabit kelihatan gembira kerana dapat menaiki motosikal.
Malah katanya, dia juga bermain ‘cak cak’ semasa membonceng seperti seorang kanak-kanak.
Terdahulu, video perkongsiannya ditonton hampir 500,000 selepas tujuh jam dimuatnaik ke aplikasi TikTok.
Warganet yang menonton memuji tindakan dan keprihatinan Khuzaimie kerana membantu warga emas terbabit walaupun belum menerima tempahan pesanan selain terkejut kerana dia turut fasih berbahasa Mandarin.
Sumber : MSTAR ONLINE