PERJALANAN kali pertama sepasang bayi kembar menaiki pesawat AirAsia pada 7 Jun lalu ternyata meninggalkan kenangan yang sukar dilupakan buat ibu bapanya.
Adra Syaheen dan Azra Syereen yang berusia setahun lapan bulan tidak henti-henti menangis, sekali gus menimbulkan suasana tidak tenang dalam penerbanan AK6423 dari Pulau Pinang ke Johor Bahru.
Enggan diselubungi rasa bersalah, ibu kepada bayi kembar itu, Nur Azyan Atan mewakili suami Mohamad Syukri Mohd Farid, tampil membuat permohonaan maaf secara terbuka menerusi aplikasi TikTok.
“Tolong panjang-panjangkan video permohonan maaf kami. Ini juga adalah kali pertama kami bawa kembar naik pesawat.
“Buat penumpang pesawat AirAsia AK6423 Pulau Pinang ke Johor Bahru, saya bagi pihak keluarga #AdraAzra ingin menyusun 10 jari memohon maaf atas kebisingan anak-anak saya dalam pesawat,” ujarnya.
Bercerita lanjut, dia yang senang disapa Azyan mengakui perjalanan bermula dengan baik, namun bertukar kecoh selepas kembar itu terpaksa dikejutkan ketika pesawat mahu mendarat.
“Sepanjang naik flight sampai mereka tertidur semua okay. Sampailah waktu nak mendarat, flight attendant datang ke kerusi kami supaya pakaikan anak seatbelt.
“Kalau ikutkan suami, dia tak nak kejutkan Azra. Sebab mereka baru saja tidur. Adra pula dekat riba saya dan dia dah memang pakai seatbelt. Jadi tiada masalah di situ.
“Cuma Azra tidur di seat sebelah. Suami memang tak nak kacau Azra tidur. Sebab mereka kalau tak cukup tidur memang akan menangis.
“Tapi sebab keselamatan, terpaksa juga untuk angkat Azra dan pakaikan seatbelt untuk infant. Belum sempat nak pakaikan dia dah tersedar dan terus nangis,” imbasnya.
Bayi kembar comel ini baru berusia setahun lapan bulan.
Kata Azyan, Adra yang sedang tidur turut tersedar kerana mendengar tangisan kembarnya sehingga dia dan suami tebal muka berdepan penumpang yang lain.
Jelasnya, dia turut menggunakan pelbagai cara untuk memujuk si kecil, namun usahanya sia-sia sahaja, bahkan Azra tidak berhenti menangis sehinggalah mereka keluar dari lapangan terbang.
“Adra masih tidur waktu tu. Tapi sebab Azra menangis sebelah seat saja, jadi Adra pun tersedar dan ikut menangis. Mujur Adra senang pujuk. Azra je yang susah sikit.
“Mungkin juga sebab leher dia sakit sebab tidur kat paha daddy. Tekanan udara pun ya juga. Semua benda saya bagi. Fon, permainan, buku, puting, air, snek, semua dia tolak, dia tak nak.
“Memang tebal muka kami masa tu. Azra menangis sampai kat luar airport. Bayangkan macam mana. Saya dan suami minta maaf sangat-sangat sebab buat penumpang lain rasa tidak selesa.
Ada seorang (penumpang) tu cakap yang telinga dia sakit, bingit. Saya minta maaf banyak kali. Tapi dia tengok phone saja.
AZYAN
“Yang mana memahami tu terima kasih banyak. Yang tak dapat terima tu kami betul-betul minta maaf. Tolong panjangkan permohonan maaf kami sampai ke penumpang AirAsia AJ6423,” ujarnya lagi.
Imbas Azyan lagi, ada seorang penumpang yang menegur bunyi bising tangisan anaknya sehingga membuatkan dia berasa bersalah dengan semua individu yang menaiki pesawat itu.
“Ada seorang (penumpang) tu cakap yang telinga dia sakit, bingit. Saya minta maaf banyak kali. Tapi dia tengok phone saja. Bila seorang cakap macam tu, mesti yang dalam flight pun rasa yang sama kan.
“Memang rasa bersalah tu tak tahu nak cakap macam mana. Masa tengah buat video permohonan maaf tu pun saya sebak sangat. Tengah cerita ni pun saya sebak bila teringat balik.
“Tapi ada yang faham. Dia cakap telinga anak mesti sakit tu, bingit. Saya memang harap video tu masuk FYP (For You Page), sebab memang nak video tu sampai ke penumpang pesawat tersebut,” ujarnya yang menetap di Kota Tinggi.
Tangkap layar permohonan maaf yang dimuat naik ke TikTok.
Untuk rekod, video itu sehingga kini meraih hampir 250,000 tontonan di TikTok.
Di ruangan komen, ramai netizen memberi kata-kata semangat buat wanita itu.
“Itu normal kak, bayi menangis kerana tekanan udara. Semakin tinggi pesawat akan menyebabkan bayi tidak selesa.
“Awak tak perlu minta maaf. Mana yang tak faham tu mungkin tak ada anak, yang penting kamu selamat sampai.
“Alahai kesiannya. Budak kan, kita pun tak sangka. Alhamdulillah selamat mendarat,” tulis beberapa netizen.