Kejadian dikatakan berlaku di Pasir Puteh, Kelantan, seorang wanita maut manakala empat cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan 29 kenderaan.
Kemalangan yang berlaku di simpang empat berhampiran lampu isyarat di Kampung Dalam Kemunting dipercayai berpunca daripada pemandu treler yang gagal mengawal kenderaannya menyebabkan ianya terbalik.
Memetik laporan Harian Metro, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Yusni Abdul Hamid. Anak Yusni, Mohammad Sharul Rizal yang membonceng di bahagian belakang motosikal dilaporkan putus kaki.
Kakak ipar arwah, Noraini Tadilin, tidak menyangka arwah yang kelihatan sangat gembira pulang ke kampung kali ini merupakan petanda pemergiannya. Arwah ada memintanya masak pelbagai jenis juadah.
Arwah merupakan ibu tunggal dan bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang. Mangsa pulang bercuti di kampung selama seminggu sempena hari raya Aidiladha.
Kata Noraini lagi, ketika kejadian arwah dan anaknya dalam perjalanan mendaftarkan kad pengenalan anak sulungnya itu.
Menurut Noraini, si anak belum tahu bahawa ibunya sudah meninggal dunia. Mereka terpaksa merahsiakannya buat sementara waktu kerana bimbang mengenai keadaannya.
Kredit: Harian Metro