Tunggang Motosikal Kriss Seorang Diri Untuk Mendaftar Di Universiti Malaya, Lau Lai Kiat Tekad Mahu balas Jasa Ayah

Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih!

Pepatah ini sesuai diumpamakan dengan semangat juang yang ditonjolkan oleh pemuda asal Johor Darul Takzim ini. Lau Lai Kiat yang kini bergelar mahasiswa jurusan Pengurusan Sukan di Universiti Malaya menarik perhatian ramai di media sosial apabila gambarnya menunggang motosikal jenis Kriss sendirian ketika sesi pendaftaran pelajar menjadi tular.

“Motosikal ini memang saya letak di kawasan parkir Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan saya gunakan setiap kali ‘turun’ Kuala Lumpur. Untuk pendaftaran hari ini, saya bermalam di rumah rakan saya di Putrajaya setelah mengambil motosikal saya di TBS,” kongsinya.

Seorang remaja yang bercita-cita tinggi, Lai Kiat yang merupakan anak bongsu dari tiga adik beradik merupakan individu pertama dalam kalangan ahli keluarganya menjejakkan kaki ke menara gading.

“Saya bercita-cita untuk menceburi bidang perniagaan setelah tamat pengajian nanti. Ayah saya yang hanya bekerja sebagai buruh telah bertungkus lumus membesarkan kami adik-beradik, dan sudah tiba masanya saya cuba membalas jasanya,” katanya lagi.

Tidak kekok membawa semua barangannya menggunakan motor, barangan keperluan dan barangan untuk kegunaan akademiknya dilihat diikat rapi menggunakan tali rafia pada motosikal.

Lai Kiat yang kini mendapat tempat untuk menginap di Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah merupakan bekas pelajar SMK Seri Tangkak, Johor.

Menjadikan universiti nombor satu Malaysia itu sebagai pilihan, Lai Kiat berkata, “Saya memilih UM bukan sahaja kerana percaya dengan kualiti pendidikannya sebagai universiti terbaik negara, malah saya juga yakin akan menimba pengalaman kehidupan kampus yang menarik dan menyeronokkan.”

Baca lagi

Leave a Reply