Ustaz Ebit Lew Menolong Seorang Pakcik Gelandangan Yang Beralaskan Konkrit Dan Bertongkat, Daya Hanya Bawah Jambatan.

Waktu ini, kita mungkin sedang memikirkan bagaimana untuk menambah wang pendapatan untuk mengukuhkan ekonomi keluarga. Ada suami isteri yang sanggup buat dua kerja setiap hari demi menampung kos kehidupan yang kian meningkat kerana mahu anak-anak berasa “terisi” dengan keselesaan. Tidak terkecuali yang langsung hilang sumber pendapatan tetap dan terpaksa berpindah dari satu kerja ke satu kerja selagi mana diperlukan. Setiap kali pulang, isteri dan anak-anak menanti di muka pintu mengharapkan “pulangan” untuk sesuap nasi mengalas perut. Walau bagaimanapun keadaan kita, bersyukurlah kerana kita masih memiliki sebuah keluarga yang begitu berharga dari dunia dan isinya. Ada orang yang terpaksa tinggal bawah jambatan seorang diri sehelai sepinggang tanpa keluarga, tanpa teman, atau kenalan.

Ustaz Ebit Lew bantu pak cik tinggal bawah jambatan

Dalam banyak kisah misi bantuan Ustaz Ebit Lew, kali ini mungkin ceritanya akan membuatkan anda menitiskan air mata. Bayangkan dalam negara yang tampak seperti “maju” ini masih ada orang yang tinggal bawah jambatan lagi hanya untuk meneruskan kehidupan. Dia bukan duduk sekejap, atau berehat seketika, melainkan bawah jambatan itulah rumahnya dan dia menghabiskan sisa hidup setiap hari di situ.

Berkongsi video di Tik Tok, Ebit Lew amat terkejut dan terharu dengan keadaan pak cik tersebut. Dia tinggal bawah jambatan di Kampung Kemensah berdekatan Zoo Negara. Bukan itu sahaja malah akibat dari kemalangan, pak cik itu juga tidak mampu bergerak normal seperti biasa dan terpaksa menggunakan tongkat penyokong di kiri dan kanan.

Ketika ditemukan, penampilannya tidak terurus, baju yang lusuh, dan selipar yang koyak-rabak. Sampai sahaja Ebit Lew di lokasi, pak cik itu tiba-tiba menangis kerana dia mengenali sosok penceramah bebas yang dermawan tersebut.

Belanja makan, beri wang belanja, baju dan rumah baru

Dengan menaiki kereta, pak cik ini di bawa ke kedai gunting rambut, diberikan sejumlah wang belanja, baju baru dan penginapan yang lebih selesa layaknya seperti sebuah rumah. Ketika dia nampak makanan yang sangat lazat terhidang di atas meja, sungguh seakan tidak percaya.

“Tak pernah saya makan macam ni,” ucapnya spontan.

Kesedihan dan kegembiran jelas berganti-ganti terpancar dari air mukanya. Tidak pernah hilang rasa yakinnya kepada pertolongan Allah, lalu Allah hadirkan seorang insan untuk membantunya atas kesabaran yang dia miliki selama ini dalam menghadapi ujian tersebut.

Terbayang wajah ayah yang masih ada

Menjengah ke ruangan komen, ramai yang menitipkan doa agar urusan pak cik ini dipermudahkan oleh Allah SWT. Tidak kurang juga yang berkongsi rasa rindu yang teramat kepada ayah di kampung setelah melihat wajah pak cik tersebut.

Terbayang wajah ayah yang masih ada

“Terbayang abah dekat rumah.”

“Saya dah tak ada ayah. Semoga pak cik baik-baik sahaja.”

“Terus teringat arwah tok lelaki saya. Al-Fatihah.”

Allah SWT menjelaskan perihal perbuatan kebajikan menerusi firman Nya bermaksud:

“Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah dan Hari Akhirat, dan segala malaikat dan segala kitab, dan sekalian nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang dia menyayanginya, (lakukan kebajikan) kepada kaum kerabat, dan anak yatim dan orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan dan kepada orang yang meminta dan untuk memerdekakan hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang yang sabar dalam masa kesempitan dan dalam masa kesakitan dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. Orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang yang bertakwa.” – (Surah al-Baqarah, ayat 177)

Kesusahan dan kesenangan, kedua-duanya adalah rezeki yang patut kita syukuri. Nikmat susah tidak akan dirasakan oleh orang kaya. Dan nikmat senang pula tidak akan dirasakan oleh orang miskin. Namun sekiranya kedua-dua ini saling bersyukur, maka Allah akan menambahkan lagi kemudahan dan limpahan rezeki yang luas di dunia dan di akhirat.

Baca lagi

Leave a Reply